MySinar Fokus Kawasan Kurang Tumpuan

SHAH ALAM – Bantuan banjir yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) akan memberi fokus kepada kawasan di Terengganu dan Kelantan yang kurang mendapat tumpuan.

Ketua Projeknya, Rosdi Md Hasan berkata, bantuan yang diterima sangat memberangsangkan dan akan diagihkan ke Besut, Terengganu manakala Kelantan di Pasir Puteh, Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Pasir Mas.“

Di kawasan-kawasan yang saya sebutkan ini, air masih tidak surut lagi dan ramai masih tidak mendapat bantuan. Jadi, kami akan fokuskan kepada kawasan ini terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Rabu, MySinar melancarkan Program Pengumpulan Barang-Barang Keperluan untuk Mangsa Banjir di Kelantan dan Terengganu di Kompleks Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Program diadakan pada 21 dan 22 Disember bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Menurut Rosdi, pelbagai barangan yang diterima oleh pihaknya sama ada secara individu mahupun daripada syarikat korporat antaranya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi).

Jelas beliau, setiap bantuan yang diberikan akan disalurkan dengan sebaiknya kepada penerima sama ada secara terus ke rumah ataupun ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sumber : Sinar Harian, 23 Disember 2022 05:34pm