‘Misi Balas Budi’

SHAH ALAM – Kejadian banjir di negeri-negeri Pantai Timur mendapat perhatian Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) yang mengambil inisiatif mengumpulkan dana bagi menyediakan barangan keperluan asas untuk disumbangkan kepada mangsa terjejas di kawasan terpencil.

Penasihat MySinar, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, pihaknya telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM5,740 dalam tempoh 48 jam melalui pelbagai saluran di media sosial.

Menurutnya, kesemua barangan tersebut dikumpulkan di Kumpulan Karangkraf di sini sebelum ia dihantar kepada mangsa banjir di tiga lokasi iaitu Rantau Panjang, Pasir Putih dan Hulu Besut.

“Alhamdulillah kami berjaya mengumpul dana untuk membeli sejumlah barangan keperluan termasuk bahan makanan seperti beras, roti dan sebagainya selain lampin kanak-kanak kepada mangsa banjir yang terjejas di Pantai Timur. Esok (Jumaat) kami akan bergerak ke sana bersama 30 orang sukarelawan.

“Tidak dinafikan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan misi bantuan banjir namun, fokus utama kami adalah memberi tumpuan di tempat-tempat terpencil agar lebih ramai mangsa banjir dapat dibantu,” katanya pada Khamis.

Tambah Muhammad Nasir, bantuan itu juga merupakan salah satu misi balas budi kepada rakyat Kelantan dan Terengganu.

Kami juga jalin kerjasama dengan NGO di negeri berkenaan bagi memudahkan urusan kenal pasti mangsa yang terlibat,” jelasnya.

Sumber : Sinar Harian, 23 Disember 2022