Tiga Tan Makanan dan Keperluan Harian

PASIR PUTEH – Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) membawa tiga tan makanan dan keperluan harian bernilai lebih RM10,000 untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Penghantaran kesemua barangan itu menggunakan 15 kenderaan pacuan empat roda ke daerah terjejas teruk di Rantau Panjang, Jerteh, Pasir Puteh dan Tumpat.

Penyelaras Misi Bantuan Banjir MySinar 2022, Nik Affieza Nik Arif berkata, mereka menyasarkan kira-kira 150 mangsa terutama golongan orang kurang upaya (OKU) dan pekerja kampung.

“Alhamdulillah, kami menerima sokongan dan tajaan daripada orang perseorangan dan syarikat korporat termasuk Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd dan Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika Misi Bantuan Banjir MySinar 2022 di sini pada Sabtu.

Nik Affieza yang juga Setiausaha Kerja MySinar memberitahu, lebih 30 sukarelawan pertubuhan itu turut bersama dalam misi pembersihan di rumah mangsa banjir.

Sementara itu, mangsa banjir Kampung Puyu, Semerak di sini, Yahya Mohd Nor, 57, bersyukur menerima bantuan untuk kali pertama selepas diuji banjir teruk minggu lalu.

Sumber : Sinar Harian, 24 Disember 2022