MySinar, UTHM Ceriakan Mangsa Banjir

KLUANG – Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyampaikan sumbangan barangan makanan dan keperluan harian kepada penduduk Kampung Bentong di sini yang terjejas akibat banjir pada Khamis.

Ketua Kampung, Tumin Tikicho berkata, bantuan berkenaan memang diperlukan penduduk di kampung berkenaan.

“Kami memang harapkan bantuan makanan dan keperluan harian. Banjir kali ini antara yang terburuk, ujian kami agak besar namun reda walaupun bencana ini sering kali berulang.

“Hujan lebat selama dua hari menyebabkan air Sungai Melantai yang merentasi kampung melimpah. Lebih buruk lagi apabila air sungai tidak mengalir menyebabkan berlakunya `banjir termenung,” katanya.

Sumbangan MySinar disampaikan wakilnya, Hashim Anang manakala UTHM diwakili Pengarah Urusan Ittihad Maju Jaya Sdn Bhd (syarikat terbitan UTHM), Prof Madya Dr Mohd Zainizan Sahdan.

Sumbangan disampaikan kepada 302 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kampung berkenaan.

Untuk rekod, Mysinar merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Bin Hamzah.

Sumber : Sharizal Ahmad Zaini, Sinar Harian, 02 Mac 2023