700 Bubur Asyura Diagihkan

SHAH ALAM – Sebanyak 700 bubur Asyura diagihkan oleh Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) kepada peserta yang mengambil bahagian, anak yatim selain masjid dan surau berdekatan dekat sini pada Ahad.

Pengarah program, Rosdi Md Hassan berkata, resipi kali ini dari negeri Kelantan yang menggunakan ramuan turun-temurun serta gabungan bahan antaranya beras, ubi keledek, kacang hijau, jagung, gula melaka, daging dan rempah ratus.

Menurutnya, proses memasak bubur Asyura ini mengambil masa selama 7 hingga 9 jam sebelum ianya boleh diedarkan.

“Kami telah pun membuat persiapan sejak malam tadi dan proses memasak bubur ini bermula sejak jam 7 pagi lagi dengan tenaga kerja lebih kurang 30 orang.

“Ia dilakukan secara bergilir-gilir disebabkan tempoh memasak yang lama,” katanya ketika ditemui semasa program mengacau Bubur Asyura di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Tambah Rosdi, program ini sepatutnya dilaksanakan bagi sambutan Awal Muharam, tetapi disebabkan kekangan masa dan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu, ia baru berkesempatan untuk dilakukan.

Sumber : SITI AISYAH MOHAMAD, Sinar Harian, 20 Ogos 2023